02 April 2008

peristiwa penting 13 april

Negara akan menerima kejutan sekali lagi pada 13 April ini, kata Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Sahri.Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili MB Selangor di majlis kesyukuran selepas PKR, PAS dan DAP membentuk kerajaan baru Selangor di Lembah Hijau dekat Bandar Tasik Puteri petang Ahad.
“Apakah kejutan itu, tuan-tuan tunggulah. Paling lewat pun Jun ini,” kata beliau mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin yang lebih 500 orang itu.

Yahya yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor berkata, selepas pembubaran Parlimen 13 Februari lalu beliau dalam taklimatnya berkata, ketika itu sudah 15 kerusi jatuh ke tangan pembangkang di Selangor.

Sejak itu, kerusi untuk pembangkang bertambah hari ke hari, sehinggalah terbukti kerajaan Selangor jatuh pada jam 7.30 malam 8 Mac walaupun diumumkan SPR pada jam 5.30 pagi 9 Mac.

Turut berucap di majlis kesyukuran anjuran PAS dan PKR Lembah Hijau itu adalah anggota Parlimen Lembah Pantai yang baru, Nurul Izzah Anwar serta datuknya, Datuk Wan Ismail.

Ketibaan mereka telah disambut dengan pasukan bermotor BTP. Orang ramai pula berebut-rebut untuk bergambar dengan Nurul dan suaminya, Shahril.Adalah difahamkan, PKR menjangkakan, kerajaan Pusat akan berubah tangan dan kerajaan BN yang ada akan jatuh.Kenapa tarikh 13 April dipilih tidak diketahui namun berita angin bertiup kencang kerajaan BN pimpinan Abdullah akan kecundang selepas itu ekoran masalah dalaman yang semakin menjadi-jadi dalam kerajaan pimpinan beliau itu.Abdullah dianggap telah hilang kawalan.Dua calon MB yang dipilih beliau tidak boleh mengangkat sumpah sebagai MB iaitu Datuk Seri Shahidan Kasim di Perlis dan Datuk Seri Idris Jusoh di Terengganu.

No comments: